Showing posts with label Koleksi cerpen. Show all posts
Showing posts with label Koleksi cerpen. Show all posts
Wednesday, December 22, 2010

Adik Dan Palestin...

2 Komen Telah Diberikan
 
Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya.Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud, adik sujud.


Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.
"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali
lagi. Adik cuma mengangguk. "Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menunggu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang. "Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi. Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.
"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.
"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.
Ummi senyum.
"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika
menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.
Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama
adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah
dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran.
Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.
"Bismillahirrahmanirrahim.."
Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu
dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru
umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran.
Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan
dari luar.
"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan
rumah.
"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda.
Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan
orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan.
Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik
tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal.

Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik
dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran
tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang
ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak
putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah. Adik
menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk
melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.

"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut
walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.

Ya Allah...
Aku memohon cinta-Mu...
Dan cinta orang yang mencintai-Mu...
Serta semua amalan yang mendekatkanku
kepada cinta-Mu...

Sumber : Inbox AltafDarwish

p/s : tq kepada penulis ni... tersentuh jiwa bila baca cerpen ni...
Readmore...
Tuesday, December 8, 2009

Sinar Islam..

Jom Tinggalkan Komen Anda Di Sini
 
Setiap hari sebelum subuh, Irna selalu mendengar suara orang seperti menyanyi-nyanyi dengan bahasa yang langsung tidak difahaminya. Selalunya dia akan menutup telinganya apabila mendengar bunyi itu tetapi pada hari itu dia sungguh berbeza. Hatinya tertanya-tanya apakah yang selalu dibaca oleh rakan sebiliknya, Siti Fatimah itu. Dia segera bangun secara senyap supaya tidak didengari oleh rakannya yang sungguh khusyuk membaca sebuah buku sambil menyanyi itu.. Semasa dia mendengar suara itu, kadang-kadang dia juga mendengari rakannya itu menangis sambil menyanyi. Apabila sampai sahaja waktu subuh, rakannya itu seperti membuat satu senaman yang memang asing baginya. Hatinya sarat dengan pertanyaan yang terbuku dihatinya. Selesai mengerjakan senaman itu, Fatimah menadah tangan dan kedengaran tangisan seperti meminta ampun kepada seseorang. Irna bingung. Selama dia tinggal di London, tidak pernah sekalipun seseorang manusia seperti rakannya itu mengerjakan senaman dan menyanyi setiap pagi. Tidak lupa juga dia melihat rakannya itu mengerjakan senaman yang sama sebanyak lima kali sehari. Dia bertekad untuk bertanya kepada rakannya itu tentang apa yang dilihatnya pada pagi itu.

Baca Lagi..
Readmore...
Friday, June 5, 2009

Bacalah...... Syurga di bawah tapak kakinya

Jom Tinggalkan Komen Anda Di Sini
 
Mak merenung jauh. Melihat nasib tuanya. Hatinya sungguh sayu. Sekiranya aruah ayah masih hidup, sudah pastilah bukan sekarang ini galur hidup mak. Dari luar jendela, mak memandang jauh ke rumah Opah, rumah emak mentuanya. Rumah yang dulu begitu usang akhirnya menjadi sebuah rumah idaman yang besar dan selesa. Mak membandingkan antara rumahnya dengan rumah opah. Samakah situasinya? Hatinya tertanya-tanya. Apa bezanya. Hatinya kian bercelaru.

Teringat mak akan dikala pinangan dari bakal suaminya. Dia tidak pernah terlintas untuk merasakan bahawa hidupnya selesa dan mewah maklumlah aruah ayah adalah seorang guru. Mak tak kenal langsung siapa bakal suaminya itu. Apa yang dia tahu, pada waktu seusia begitu, dia sudah boleh dicapkan sebagai anak dara tua. Rakan-rakan sebaya dengannya semuanya sudah beranak pinak. Kakaknya sendiri sudah tiga orang anaknya. Jetun, kawan baiknya juga dah dua orang anaknya. Mak? Baru sahaja mencecah usia 20 tahun barulah ada orang yang masuk meminang. Bukannya apa sebabnya sebelum ini Mak begitu sibuk dengan pelbagai kemahirannya sebelum disunting orang. Bukan salah mak juga, aruah atuk juga yang berkeinginan menghantar mak untuk belajar memasaklah, belajar menjahitlah dan sebagainya. Atuk hendak anak perempuan bongsunya ini jadi seorang wanita yang serba boleh. Begitulah impian aruah atuk. Mak akhirnya disunting oleh bukannya orang lain. Anak saudara Naib Tok Kadi Mukim ini juga. Siapa tak kenal keturunan Tok Naib (gelarannya) di mukim ini. Keturunan orang alim-alim dari Batu Bara. Siapa tak kenal keturunan itu, alamat tak kahwinle sampai ke tua gayut.

Mak memerhatikan dari kejauhan ini, berbalam-balam rasanya kesepian hatinya. Ayah telah lama pergi meninggalkan mak keseorangan untuk meneruskan hidup ini. Mak tidak dapat membayangkan kesepian hidupnya biarpun selama 23 tahun mak belum pernah mengalaminya. Kadang kala mak menangisi akan kesepian yang melanda hati kecil ini. Pernah mak menyalahkan takdir yang memisahkan kasihnya dengan orang yang amat disayanginya itu. Mak selalu merasakan kekosongan hidupnya tanpa ayah di sisi. Kesepian itu benar-benar mengugat kesetiaannya kepada jiwa yang turut bersemadi di dasar tanah itu. Sekiranya dulu mak merelakan pemergian ayah tapi kini hati kecilnya seringkali tertanya-tanya kenapa ayah mesti meninggalkan dia keseorangan di dunia ini. Keseorangan dengan dikelilingi oleh anak-anaknya yang tidak pernah ingin mencurahkan kasih sayang mereka kepadanya. Mak benar-benar kesepian ibarat tunggul kayu di hutan belantara. Ada anak seramai tujuh orang pun dia merasakan macam dia langsung tidak pernah melahirkan apa-apa zuriat ke atas muka bumi ini. Adakah salah mak mendidik mereka? Apakah mak selama ini telah tersalah menyuapkan mereka makanan yang tidak berkat ke dalam tembolok mereka? Mak berkira-kira bahawa selama ini apa yang tidak cukup yang telah dia curahkan kepada anak-anaknya itu. Habis segala harta pusaka bonda mak dipajak dan digadai semata-mata untuk melihat anak-anaknya hidup senang di kemudian hari. Mengharap gaji ayah sebagai seorang pendidik yang tidak seberapa dalam menanggung anak yang seramai tujuh orang sememangnya tidak pernah mencukupi. Maklumlah bukan sahaja anak yang seramai tujuh orang ini sahaja yang aruah ayah tanggung bahkan adik-adik tiri ayah yang seramai 10 orang lagi juga perlu ayah tanggung persekolahan mereka. Menitis air mata mak ke bumi. Mak segera menyeka air matanya dengan hujung tangan baju kurung kusamnya itu. Sejurus itu mak rasakan bahawa mak tersalah memilih kehidupan ini. Kenapa kehidupannya penuh dengan kesengsaraan. Penderitaan dan kesedihan. Menitis lagi air mata mak. Gugur dan jatuh ke bumi. Berkata hati kecil mak kenapalah kehidupannya tidak seperti Hajah Gayah, Makcik Besah dan jiran-jiran yang lain. Sekurang-kurangnya ada juga anak-anak mereka yang masih sudi untuk mengetahui sakit pening orang tua mereka. Tidaklah terasa terbuang dan terasing sungguh seperti dirinya ini.

Entahlah dalam sehari mak sukar untuk mengerti kenapa hati tuanya kian terusik. Begitu mudah untuk tersentuh dan akhirnya air matalah menjadi temannya. Anak-anak mak semuanya berjawatan besar. Semuanya berpendidikan besar. Semuanya kahwin dengan orang besar-besar dan apa yang mak tahu ialah sekarang ini semua anak-anak mak tu semuanya berhidung yang kekayaan. Memandang mak bagaikan satu kehinaan. Mak memang terasakan kehinaan diri tuanya ini amat dibenci oleh anak dan juga menantunya. Mak beranggapan bahawa tidak semua anak mak akan bertindak sedemikian. Mak beranggapan bahawa Usu tidak mungkin sanggup membuang mak seperti mana dengan abang dan kakaknya yang lain. Sangkaan mak benar-benar meleset. Usu langsung membuang mak bagaikan sampah selepas dia berkahwin dengan adik sepupu Menteri Kabinet. Malu katanya dengan mak. Malu dengan pembawaan mak. Malu dengan pemakaian mak. Malu segala-galanya dengan apa yang ada pada mak. Mak adalah satu kehinaan bagi Usu untuk ditonjolkan kepada keluarga iparnya. Malu bermakkan seorang perempuan tua yang sudah berkedut seribu dimamah us ia ini. Malu sebab semua pakaian mak lusuh dan tidak sedap dipandang mata.

Sejak dari kecil mak tatang semua anak-anak mak bagaikan menatang minyak yang penuh. Sakit pening anak-anak mak adalah sakit pening mak juga. Mak mahu melihat anak-anaknya menjadi orang yang berjaya dan ternama. Hajat mak itu memang kesampaian tetapi sekiranya kini mak menutup mata, mungkin hatinya akan tersengkang dengan kesedihan yang teramat sangat kerana anak-anaknya memang berjaya. Anak-anaknya memang menjadi orang ternama tetapi anak-anaknya juga malu mengakui mak sebagai mak mereka kerana mak bukanlah dari golongan orang yang ternama. Air mata mak menitis lagi. Kesedihan mak memang tidak dapat dibayangkan lagi. Alangkah bahagianya jika mak dapat mencontohi opah yang kini hidup senang lenang walaupun hanya membesarkan anak-anak tiri dan anaknya sendiri yang seramai 11 orang. Tiada seorang pun daripada mereka yang melupakan opah. Tidak pernah rumah opah sepi dari gelak tawa cucu-cucunya. Rumah mak terus sepi. Sepi bagaikan berada dihujung dunia. Sepi bagaikan langsung tiada berpenghuni. Sepi dengan segala-galanya.

Mak sangkakan bahawa anak-anak mak akan mencontohi jejak langkah pakcik dan makciknya (adik beradik aruah ayah), malangnya air mata mak mengalir lagi. Lesu hatinya memikirkan kesuraman hidupnya. Hanya air mata terus mengalir menemani mak.

"Opah! Opah!" "Assalamualaikum!" "Opah! Opah!" Hati mak tersentak. Sudah meninggi matahari rupanya. Segera mak menyeka air matanya daripada terus mengalir. "Hah..Kamarul masuklah"

Mak melihat dengan sayu kedatangan cucunya yang rajin menziarahnya itu. Ditangannya dibawanya bekas makanan yang dibawa dari rumah Halimah, anak sulungnya yang duduk jauhnya 3 lorong dari rumahnya itu.

"Apa khabar opah, ni ada mak buatkan lauk gulai masam tempoyak yang opah hendakkan semalam tu," Kamarul dengan segera menyalinkan bekas-bekas makanan yang dibawanya ke dalam pinggan.

"Kenapa mata opah merah? Opah menangis ke?" Kamarul mula merapati mak.

Hati mak tersentuh lagi. Air matanya terus mengalir. Kalau tidak kerana Halimah, anak sulungnya, sudah lama dia mati kelaparan di sini. Tapi apa boleh buat, Halimah kini milik Bakar, suaminya. Mak masih ingat lagi kerana maklah nyaris Halimah dan Bakar berbalah sampai nak jatuh talak. Mujurlah mak segera ambil tindakan segera balik semula ke rumahnya. Apakah malang nasibnya. Ada anak yang mengambil berat tentangnya, menantunya pula tak suka. Hiba.

Mak memandang jauh keluar jendela rumah. Entahlah kenapa sejak kebelakangan ini hatinya begitu mudah terusik. Kenapa sekarang memori kenangan silam begitu ligat berputar di dalam lingkaran otaknya. Kenapa sekarang barulah mak benar-benar mengalami kesunyian itu.

Kerisauan mak semakin ketara bila Kamarul memberitahunya bahawa Usu akan melahirkan anaknya bila-bila masa sahaja. Hati mak begitu teringin melihat cucunya. Cucu yang mungkin akan ditatapnya buat kali terakhir. Kali terakhir sebelum nafasnya terhenti. Hati mak meronta-ronta untuk menghubungi Usu. Bagaikan diseru, anak mak Angah Kamariah singgah ke rumah hari ini. Mak gembira bukan kepalang. Hatinya meminta agar Angah Kamariah dapat menelefon Usu. Mak teringin sangat untuk bercakap dengan Usu. Mak teringin untuk melihat cucu mak yang bakal lahir itu. Mak benar-benar kepingin.

"Mak jangan buat tabiat! Duduk ajelah kat rumah ni. Janganle nak gatal nak berjalan ke rumah Usu," bentak Kamariah. Mak tergamam. Air mata mak mengalir lagi.

"Aku bukan apa, aku teringin sangat jumpa Usu, sekurang-kurangnya kau tolonglah tekankan nombor telefon dia.biar aku yang cakap dengan dia.."rayu mak pada Angah Kamariah. "Hish.menyusah aje orang tua ni..tak faham-faham ke.orang kata tak nak! Tak nak le! Jangan pandai-pandai nak telefon Usu, karang menyusahkan dia aje. Malu orang tengok mak nanti," Hati mak semakin hiba. Terguris pilu yang tiada berdarah tetapi kepedihan itu amat memeritkan. Adakah semua anak-anaknya malu sebab beribukan seorang perempuan kampung sepertinya.

Hati mak semakin diruntuh dengan sebak yang amat mendalam. Dalam hati kecilnya terselit seribu penyesalan yang teramat sangat. Menyesal kerana melahirkan anak-anaknya selama ini. Menyesal mengandungkan kesemua anak-anaknya selama 9 bulan 2 minggu selama ini. Air mata mak mengalir lagi. Sebak di dadanya tiada ubatnya. Keruan hatinya semakin melarat. Kekecewaan bergelinang di lubuk hatinya.

Hati tuanya kian terusik. Pusara ayah diziarahinya. Batu sungai yang menjadi nisan persemadian ayah, mak dakap, mak peluk. Air matanya mengalir. Empangan air matanya sendiri tidak dapat menahan rasa sebak di hati ini. Air mata itu semakin deras mengalir. Pada siapa lagi yang boleh mak luahkan. Pada pusara ayahlah tempat mak mengadu segala rasa sebak di dadanya. Mak berharap agar roh ayah dapat melihat betapa deritanya hidup mak kini. Mak harap roh ayah dapat merasakan kelukaan di hati tuanya kini. Itulah harapan mak. Walaupun mak tahu apa yang mak buatkan ini seolah-olah menyalahkan takdir yang menentukan tapi mak terpaksa meluahkan kekusutan hati tuanya itu. Sebak dalam dadanya yang kian bersarang. Semakin deras air mata mak melepasi empangannya. Semakin lama semakin deras. Kesyahduan petang ini berhiaskan kesuraman ufuk kirmizi bagaikan berkabung dengan penderitaan yang mak alami. Kemerahan suasana suram ini bagaikan bermurung dengan semua kesayuan yang mak pendamkan di hati tuanya.

"Mak ke mana tadi?" jerkah Angah Kamariah sebaik sahaja mak menjejakkan kakinya di ambang pintu.

Hati mak semakin merekah kesedihan.

"Mak tak dengar ke apa yang saya tanya ni?" semakin kuat jerkahan Angah Kamariah.

"Kau tak boleh tanya aku dengan baik ke Angah? Kau ingat aku ni pekak ke? Kau tak tahu aku ni siapa yang kau nak jerkah-jerkah? Aku ni kan mak kau!" dalam hiba mak melepaskan segala yang terpendam di dalam dadanya. Perasaan ini tidak dapat ditahannya lagi.

"Angah tanya mak tu dari mana? Mak bukannya sihat lagi. Kalau berlaku apa-apa siapa yang susah. Angah juga yang susah. Cubalah dah tua-tua tu duduk kat rumah. Janganle gatal nak berjalan ke sana sini. Nanti siapa yang susah!"

"Apa yang kamu susahkan. Kalau aku mati lagi kamu suka. Bukan begitu?" Luahan mak bagaikan gunung berapi yang meletus. "Apa yang mak cakapkan ni?" pintas Angah.

"Kamu dulu masa kecil aku jaga, aku tatang tapi kamu layan aku macam aku ni orang gaji. Kamu ndak herdik ke? Ndak marah ke? Kamu ingat aku ni tak ada perasaan ke? Kamu ingat aku ni orang tua tumpul ke?" Air mata mak semakin tidak boleh disekat. Jelas di raut mukanya mak ingin melepaskan segala-galanya. Melepaskan apa yang terbuku di dalam sanubarinya selama ini. Biarlah Angah mengatakannya sebagai mengungkit segala kisah silam tapi itulah yang ingin dilafazkan oleh mak. Mak inginkan ketenangan dulu maka biarlah mak meluahkan kebukuan dihati tuanya ini.

"Mak.. Angah tak kata begitu, mak jangan salah sangka!" Angah bagaikan terpana dengan hirisan hati mak. Cetusan yang mak sampaikan bagaikan halilintar yang menyentak keperibadian Angah Kamariah. Angah Kamariah bagaikan cuba berselindung di balik tirai yang jarang. Menipu keadaan memaksa perasaan. "Selama ini aku bersusah payah membesarkan kamu semua. Pernah kamu berterima kasih dengan segala apa yang aku berikan!" cetusan mak semakin menyala.

"Pernah kamu bertanya tentang perasaan aku? Kesepian aku selepas ayah kamu pergi? Pernah kamu kisahkan semua itu?" Air mata mak tidak dapat dikekang lagi. Mengalir sekali lagi. Harapannya untuk kali yang terakhir untuk tumpah menimpa bumi. Melepaskan perasaan yang terbukam sepi dalam sendu hatinya.

"Kau buat aku macam abdi sahaja dalam rumah ni. dan semua anak-anak yang aku lahirkan semuanya sama. Mentang-mentanglah aku ni hanya perempuan kampung. Selama ini aku bangga dengan semua anak-anak aku. Semasa kecil aku tatang bagaikan minyak yang penuh. Habis barang kemas aku gadaikan demi pelajaran anak-anak aku. Tapi aku silap... aku sebenarnya telah melahirkan tuan kepada aku. Tuan besar yang menganggap aku ni hamba abdi mereka. Seolah aku ni tidak layak dipanggil mak. Aku tidak layak menyatakan syurga itu di bawah telapak kakiku,"

Ketenangan hati mak yang tergugat akhirnya goyah. Kesetian hati tuanya pada kesuraman jiwa dan perasaan akhirnya meledakkan sebuah perasaan yang menggentaskan sanubari. Mak rebah selepas itu. Angah Kamariah tergopoh gapah. Air mata Angah Kamariah jelas mengalir. Jelas dalam kesamaran. Antara kesedaran dan keinsafan. Angah Kamariah bagaikan terpukul melihatkan dalam rebah mak yang dilinangi air mata tuanya, riak mukanya bagaikan tersenyum. Tersenyum kerana semuanya telah berakhir.

"Mak!!!!!!!" Hanya itu sahajalah yang mampu Angah Kamariah lafazkan.

#p.s - berbaiklah dengan kedua orang tuamu sebelum mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ingatlah bahawa jasa mereka dalam melahirkan dan membesarkan kita semua terlalu berharga dan jangan disesalkan akan pemergian mereka ke pangkuan Ilahi.
Readmore...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Catatan Terkini

Powered by Blogger.